3 Dis 2014

PROGRAM PENDIDIKAN SUNGAI KINTA ‘SMART RANGER AND RIVER RANGER’ BERSAMA GLOBAL ENVIRONMENT CENTRE (GEC) DI PERPUSTAKAAN TUN RAZAK, IPOH, PERAK.
Global Environment Centre (GEC) telah menganjurkan satu Program Pendidikan Sungai Kinta atas kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN). Program ini telah dilaksanakan pada 14, 15 dan 21 Mac 2014 bertempat di Bangunan Perpustakaan Tun Razak Ipoh. Antara sekolah yang terlibat adalah 13 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK), 5 buah Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJK(C)) dan 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)). Ianya melibatkan 107 orang murid dan 33 orang guru sekolah kesemuanya.
Program ini merangkumi dua aktiviti iaitu Latihan Smart Ranger di dalam dewan dan aktiviti River Ranger di kawasan Sungai Buntong dan Sungai Kledang. Program ini bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengarah JPS Negeri Perak iaitu Ir. Chong Ing Keong dan taklimat dari Dr. K. Kalithasan sebagai penyelaras program yang dibantu oleh empat orang trainer dari GEC serta pegawai-pegawai dari JPS Negeri Perak dan JPS Daerah Kinta yang terlibat. Latihan Smart Ranger ini bermula di dalam dewan Perpustakaan Tun Razak dari jam 8 pagi - 12 tengah hari. Ianya bermula dengan taklimat dan penerangan yang diberi oleh Dr. K. Kalithasan dan latihan telah diberi oleh pembantu atau pengajar dari GEC. Pada sebelah petangnya aktiviti di lapangan bermula pada jam 2 pm – 6 pm. Antara ujian yang dilakukan adalah ujian fizikal, kimia dan biologikal yang dibantu oleh pegawai-pegawai dari JPS.

Setiap sekolah telah ditetapkan tarikh untuk program ini iaitu SJK(C) pada 14 Mac, SK dan SMK pada 15 Mac dan SJK (T) pada 21 Mac. Semua aktiviti yang dilakukan pada 14, 15, dan 21 Mac adalah sama. Ujian dilakukan di 3 tempat berasingan iaitu di bahagian hulu dan bahagian hilir Sg. Buntong serta Sungai Kledang.

Objektif program adalah untuk mewujudkan kesedaran sebelum membuang sampah ke dalam sungai atau di tempat pembuangan sampah dan juga sebelum melakukan aktivit di tebing atau di dalam sungai. Ini adalah kerana sampah yang dibuang atau aktiviti yang dilakukan bole menyebabkan persekitaran sungai kotor dan air sungai tercemar.


Disamping itu juga dapat memberi kesedaran kepada semua orang awam tentang pentingnya sungai dalam kehidupan seharian kita dan juga dapat menimbulkan keinginan untuk memelihara dan mencintai sungai. JPS juga berharap aktiviti ini dapat diteruskan bagi mengekalkan kebersihan dan kesihatan semua sungai di negeri ini khususnya.